Bahasa Melayu? Apa kepentingannya? Tidak lulus pun tidak jadi masalah. Bukan seperti Bahasa Inggeris. Inilah di antara persoalan-persoalan yang sering berligar-ligar di minda pelajar-pelajar kita. Kurangnya rasa cinta terhadap BM mungkin juga berpunca daripada penekanan yang diberikan oleh guru BM itu sendiri. Hakikatnya, ramai guru yang mengajar BM lebih berkiblatkan kepada peperiksaan.
Sepatutnya sebagai mentor dan fasilitator, guru itu perlu menyemai rasa cinta terhadap BM di dalam naluri anak-anak didiknya melalui kaedah pembelajaran yang inovatif jangan hanya bergantung kepada bahan pengajaran yang sedia ada. Guru juga harus berjaya menyakinkan dirinya sendiri sebelum menyakinkan para pelajarnya tentang keindahan bahasa dan budaya melayu. Seandainya, guru berjaya menyemai rasa cinta terhadap BM di kalangan para pelajarnya, secara tidak langsung tugas guru untuk mengajar akan menjadi lebih mudah. Para pelajar yang berminat akan dengan rela hati mendalami tentang BM secara kendiri tanpa sebarang paksaan.
Tanggungjawab untuk merealisasikan keindahan bahasa dan budaya melayu sememangnya dapat dilaksanakan terutama sekali melalui kaedah pembelajaran yang inovatif ditambah lagi dengan aktiviti-aktiviti bahasa dan budaya yang kreatif serta dapat memberikan nilai tambah dalam memperkasakan dan memartabatkan penggunaan BM.
Ayuh, ambillah peluang sempena Bulan Bahasa ini! Berilah pendedahan yang lebih meluas lagi kepada anak didik kita dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan. Usaha yang berterusan pasti akan menghasilkan ganjaran yang lumayan.
"Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir"
No comments:
Post a Comment